SAO PAULO, 30 JUN – Kelab Brazil, Santos semalam mengumumkan bahawa mereka telah menamatkan kontrak pemain pertahanan, Eduardo Bauermann, yang terlibat dalam skandal mengatur perlawanan yang mengejutkan bola sepak Brazil.
Kelab itu berkata, pemain berusia 27 tahun itu telah menandatangani perjanjian untuk menamatkan kontraknya, yang akan berakhir pada 2024.
Bauermann kini menjadi subjek penyiasatan oleh badan kehakiman negeri Goias, yang pada bulan November mendedahkan kumpulan penjenayah yang mengatur perlawanan bola sepak di peringkat divisyen satu dan kedua.
Menurut Pejabat Pendakwa Raya Goias, sekurang-kurangnya 15 perlawanan telah diaturkan tahun lepas, termasuk lapan di divisyen satu.
Para pemain dibayar untuk tindakan tertentu dalam perlawanan seperti menerima kad kuning atau merah.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P23-D-web-Freepik_01072023-1.jpg)
Santos telah menggantung Bauermann pada Mei dan pihak berkuasa bola sepak menetapkan hukuman penggantungan 12 perlawanan pada Jun.
Dia terlepas daripada penggantungan seumur hidup dalam bola sepak kerana enggan dilayangkan kad merah dalam perlawanan November lalu. Dia memulangkan wang itu kepada kumpulan tersebut.
“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada kelab, dan juga kepada rakan sepasukan dan peminat yang terkesan oleh laporan itu,” kata Bauermann dalam sebuah video.
“Walaupun saya menyesalinya dan tidak melakukan apa-apa yang diarahkan untuk memudaratkan pasukan saya, saya amat terkesan,” ujarnya.
Media Brazil melaporkan bahawa Bauermann boleh meneruskan kariernya di Turki. – AFP