Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Santuni golongan kurang berkemampuan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Mantan dan warga Jabatan Penerangan telah menghulurkan sumbangan sedekah dan derma kepada warga Penerangan yang kurang berkemampuan yang terdiri dari anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal yang kurang berkemampuan dan warga emas yang kurang berkemampuan petang tadi.

    Program yang dikenali sebagai Jejak Kasih Penerangan tersebut merupakan acara yang julung kalinya diadakan sempena Majlis Silaturahim Hari Raya Aidilfitri Mantan Penerangan pada tahun 2021, bagi menyantuni serta prihatin terhadap  golongan berkenaan. Seramai lima orang anak yatim, tiga orang ibu tunggal  kurang berkemampuan dan empat orang warga emas kurang berkemampuan telah menerima sumbangan tersebut di majlis yang diadakan di Hotel Al-Afiah di sini hari ini.

    Hadir  di majlis selaku tetamu khas dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan derma  berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, yang juga merupakan mantan pengarah penerangan (1979-1985). Hadir sama ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Awang Hazair bin Haji Abdullah yang juga merupakan mantan pengarah penerangan serta 90 orang mantan dan warga Penerangan.Majlis Silaturahim Hari Raya Aidilfitri anjuran mantan penerangan ini dijadikan sebagai platform yang bermanfaat ke arah menjalin   ikatan persahabatan  dan setiakawan yang terjalin erat dan  penuh akrab serta memupuk  semangat kerjasama berpasukan  dalam mewujudkan suasana kemesraan, di samping medium  bersemuka dan berinteraksi sesama mantan dan warga Penerangan.

    Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian daripada warga mantan Penerangan dan warga Jabatan Penerangan serta juga cabutan Silaturahim Aidilfitri.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan sumbangan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda