Sikap menghormati jiran tetangga merupakan prinsip yang penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Ia bermaksud kita menghargai dan menjaga hubungan yang baik dengan mereka yang tinggal di sekitar kita.
Bukan sahaja menghormati, malah jika boleh saling membantu antara satu sama lain, menjaga privasi dan memantau sebarang kegiatan mencurigakan yang ditimbulkan daripada pihak luar.
Memang tidak dinafikan hidup berjiran akan sentiasa ada pelbagai kerenah, berlainan pendapat dan pegangan.
Namun bagaimana pula jiran-jiran yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan jiran sekitarnya? Seperti membuat bising, menyanyi senyaring-nyaringnya menggunakan set karaoke di luar rumah hingga larut malam.
Ingatlah kalau hidup berjiran, kita hendaklah menjaga perbuatan yang kurang menyenangkan hati jiran.
Rumah tempat untuk merehatkan badan dan minda selepas seharian bekerja manakala anak-anak pula perlu tidur awal untuk memastikan mereka segar keesokan harinya, memandangkan musim persekolahan sudah bermula.
Oleh itu hormatilah hak istirahat jiran tetangga dengan tidak berbuat bising pada waktu malam. Dengan itu, kita dapat mencipta lingkungan yang aman dan harmoni di kawasan kejiranan bukan sahaja pada waktu malam bahkan pada bila-bila masa.
Mei Ling