Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Syarikat An Naafii Co telah mengendalikan Program Santai Tapi Sampai: Bicara Jiwa Remaja Muslim yang berlangsung semalam di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Kilanas.
Bertemakan Remaja Muslim di Era Teknologi: Antara Harapan dan Cabaran, program berkenaan antara lain bertujuan menyantuni jiwa remaja dan pelajar melalui pendekatan dakwah yang santai, relevan serta menyentuh isu-isu kehidupan sebenar yang dihadapi generasi muda masa kini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Program menampilkan empat ahli panel iaitu penceramah bertauliah undangan, Profesor Dr Ustaz Abdul Somad; Pengasas Bersama LZ Hussin & Co, Dayang Lailatul Zubaidah binti Haji Mohammad Hussain; siswi Diploma Tertinggi Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Nur Izzay Aziah binti Ahmad; dan siswa Sarjana Perguruan Ugama (Kajian Ahli Sunnah Waljama’ah), KUPU SB, Awang Mohammed Khairul Muaz bin Haji Sibodaud.
Dalam ceramah yang disampaikan, antara yang ditekankan adalah mengenai golongan remaja dan belia merupakan tiang dan sandaran negara serta menjadi sumber tenaga manusia yang sangat bernilai kerana pada mereka diletakkan cita-cita serta harapan negara di masa hadapan.
Sebagai harapan negara, golongan itu memikul tanggungjawab yang amat besar, justeru mereka perlu dibentuk dan dipersiapkan dengan tarbiyah, nilai-nilai dan kefahaman Islam sejak kecil lagi bagi mengharungi arus dunia yang penuh pancaroba.
Dalam hal tersebut, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memberikan didikan dari aspek agama dan sosial yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Keluarga yang tidak dibentuk berlandaskan ajaran agama Islam, boleh mengundang pelbagai masalah sosial yang semakin mencengkam dewasa ini.





