Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Santuni konsep, budaya bangsa kita

    Ketika mendengar wawancara antara penyampai dan seorang pempengaruh di corong radio minggu lalu, saya berasa bangga apabila ‘orang luar’ memberi pandangan positif tentang negara kita.

    Pempengaruh yang diundang oleh sebuah stesen radio di sini sempat berkongsi bahawa sejak pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini dia terpesona dengan masyarakat Brunei yang kental dengan konsep Melayu Islam Beraja.

    Sebagai contoh, semasa dia berjalan kaki di kawasan komersial Gadong berhampiran asramanya, para pemandu sangat menghormati para pejalan kaki yang ingin menyeberangi jalan dengan memberi ruang atau mendahulukan mereka terlebih dahulu, yang mana baginya ia sangat berbeza dengan amalan yang terdapat di negaranya.

    Sikap ramah dan lingkungan sosial di negara ini yang menitikberatkan hubungan silaturahim tanpa mengira bangsa dan agama juga mengagumkannya.

    Selain itu, keunikan bangsa Brunei juga terserlah apabila tiba hari Jumaat masyarakat di negara ini akan sentiasa memberi penghormatan terhadap hari berkenaan.

    Seluruh kedai dan premis perniagaan akan ditutup sementara dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang bagi memberikan ruang untuk menunaikan solat Fardu Jumaat.

    Menurutnya lagi, keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis-majlis konvokesyen bagi menganugerahkan sijil kepada para pelajar universiti mencerminkan ‘raja berjiwa rakyat’ di mana ia jarang berlaku di negara lain.

    Justeru, sudut pandang warga luar itu memberi peringatan kepada kita sebagai rakyat di bumi Darussalam ini agar terus-menerus mengekalkan jati diri bangsa yang terkenal dengan nilai-nilai luhur budaya Melayu, manakala agama Islam menjadi pasaknya dan raja sebagai tonggak dalam pemerintahan.

    Bayu F.

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda