Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Santuni warga emas, barigakan Hari Bertindak Kebangsaan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Lima buah rumah warga emas di kawasan yang terpilih di daerah ini, telah dikunjungi oleh rombongan ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kawasan 2 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri dalam Program Berdudun ke Rumah-rumah Warga Emas hari ini.

    Lawatan rombongan yang diketuai Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2, RPN Kampung Mentiri, Haji Nizam bin Julaihi itu adalah sebagai menyahut dan membarigakan Hari Bertindak Kebangsaan sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut setiap 5 Disember.

    Dalam program berkenaan, rombongan berpeluang melihat lebih dekat aktiviti rutin yang dilakukan oleh keluarga-keluarga berkenaan.

    Haji Nizam menjelaskan, “Program ini merupakan satu platform terbaik untuk menyantuni golongan warga emas di kawasan ini bagi beramah mesra sambil mengetahui keperluan dan permasalahan yang mereka hadapi.”

    Selain itu, beliau juga berharap melalui program berkenaan akan memberikan kesedaran dan menarik perhatian kepada penduduk kampung agar sentiasa melakukan aktiviti-aktiviti kesukarelawan dalam menyumbangkan tenaga, buah fikiran mahupun berbentuk material kepada golongan memerlukan khususnya di kawasan RPN itu.

    “Ini sudah tentu akan melestarikan lagi budaya tolong-menolong di kampung ini sekali gus akan menyumbangkan kesejahteraan dan keharmonian yang kitani miliki ketika ini,” tambahnya.

    Semasa kunjungan berkenaan, Haji Nizam juga menyampaikan cenderahati kepada keluarga setiap rumah yang dikunjungi.

    Rombongan semasa mengunjungi salah sebuah rumah warga emas. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda