KUCHING, 20 OGOS – Sape atau sampe, sejenis alat muzik tradisional petik bertali yang dimainkan oleh masyarakat Orang Ulu di Sarawak, telah dipilih untuk dipamerkan sebagai antara kraf budaya Malaysia di Muzium Sukan Asia di Hangzhou, China.
Timbalan Pengarah Komunikasi Pemasaran dan Pengaktifan Proton Holdings Bhd (Proton), Steven Zhou Qi berkata inisiatif untuk mempromosi alat muzik tradisional itu di peringkat global adalah dipacu oleh syarikat automotif negara itu kerana ia turut memainkan peranan penting bagi merangsang sektor pelancongan Malaysia pasca-COVID-19.
“Kami berhasrat menjadi jambatan itu, jadi kami menganjurkan acara yang bukan sahaja mempromosi semangat Sukan Asia tetapi juga produk tempatan yang boleh disiarkan di peringkat antarabangsa dan akan menyebabkan lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas program Asian Games Nation Drive edisi Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata alat muzik tradisional itu akan dipamerkan bersama kraf budaya lain dari setiap negeri di Malaysia berdasarkan yang paling meraih undian di media sosial Proton.
Program dua hari itu diadakan sempena Sukan Asia edisi ke-19 yang berlangsung di Hangzhou dan Proton secara rasmi telah dilantik sebagai antara kenderaan rasmi bagi temasya yang berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober tahun ini. – Bernama


