Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Seminar Penyelidikan Mengenai Melayu (SAPEMM) ke-2 yang bermula 28 Mac lalu telah menutup tirainya pada majlis di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), malam hari ini.
Majlis telah didahului dengan ucapan alu-aluan daripada Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS) yang juga selaku Pengerusi Bersama SAPEMM, Dr. Hajah Asiyah Az-Zahra binti Haji Ahmad Kumpoh.
Kemudian majlis disusuli dengan penyampaian kertas resolusi yang disampaikan oleh Ketua Jawatankuasa Bahagian Pelapor Kertas Persidangan, Dr. Haji Ramlee bin Haji Tinkong kepada Pengarah Akademi Pengajian Brunei (APB) yang juga selaku Pengerusi Bersama SAPEMM ke-2, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.




Dr. Siti Norkhalbi kemudian menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan penyertaan kepada wakil jawatankuasa kerja komiti, wakil pembentang dan wakil peserta serta penaja.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan adat masyarakat Brunei iaitu majlis berbedak dan malam berjaga-jaga.
Seminar berkenaan merupakan anjuran APB dan FASS, UBD dengan kerjasama Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Goethe University Jerman.