Oleh RHF –
Aidiladha tahun ani memang lain macam. Bukan sebab makanan, bukan sebab baju baru, tapi sebab… lembu. Ya, lembu.
Nama ku Ali, anak bungsu dari lima orang adik-beradik. Kampung kami, Kampung Kuang-Kuang, memang terkenal dengan suasana aman dan damai.
Tapi tahun ani, suasana aman tu hilang sekelip mata ketika Pak Imam terjerit dari corong masjid pagi Hari Raya, “Lembu korban hilang!”
Pagi tu, aku bangun awal. Jam belum pun pukul 6. Emakku sibuk di dapur, memasak nasi minyak dan rendang.
Ayahku pula sudah siap berkain pelikat, menunggu masa ke masjid.

“Ali, jangan lambat sembahyang. Hari ani ramai orang, karang tempat duduk penuh,” kata ayah sambil menyisir rambut dengan minyak rambut cap Gajah Duduk.
Aku angguk. “Bah, kan siap tah ku ni.”
Belum sempat aku capai songkok, corong masjid tiba-tiba berbunyi.
“Assalamualaikum, penduduk Kampung Kuang-Kuang… lembu korban kita hilang. Diminta siapa-siapa yang nampak lembu warna coklat, ekor bengkok, nama dia ‘Sapiyah’, tolong maklumkan ke masjid segera.”
Ayah terdiam. Aku ternganga. Emak terduduk.
“Apaaa? Sapiyah hilang?” Emak memandang ayah. “Tu lembu yang abang jaga semalam, kan?”
Ayah cepat-cepat bangun. “Ya Rabbi, aku tinggal kejap saja tadi masa Subuh.
“Karang aku pula kena sembelih dulu sebelum lembu tu!”
Aku dan ayah berlari ke masjid. Dalam perjalanan, kami nampak beberapa orang kampung sudah mula berkumpul.
Semua muka cemas macam baru kehilangan anak.
Pak imam berdiri di tangga masjid, peluh mengalir walaupun baru pukul tujuh.
“Siapa last jaga lembu?” tanya pak imam.
“Aku,” jawab ayah. “Tapi aku ikat dia kuat-kuat. Tali plastik warna jingga lagi tu, bali dari kedai Pak Rosli.”
“Bah, sekarang siapa pandai cari lembu, dapat kepala dia buat sup,” kata Pak Abu, tukang sembelih kampung. Semua orang gelak, tapi dalam hati semua mau kepala lembu tu.
Kami pun berpecah. Aku, ayah, dan sepupu ku, Mat Jerung (nama sebenar: Ahmad, tapi sebab suka berenang di tali air, orang kampung panggil dia Jerung), mula menyusur ke hujung kampung.
“Aku rasa lembu tu stress,” kata Mat Jerung.
“Kenapa pula stress?” aku tanya.
“Cuba kau bayangkan, semua lembu lain duduk dalam kandang, dia seekor diikat ke pokok rambutan, ” kata Mat Jerung.
Kami berjalan masuk ke belukar belakang surau. Tiba-tiba… Mooo!
“Ada bunyi tu!” jerit aku.
Kami berlari ikut arah bunyi. Sampai di satu pondok lama, kami nampak Sapiyah sedang santai baring atas daun-daun kering, macam dia bercuti di resort.
“Sapiyah!” jerit Mat Jerung. “Apa kau buat sini ah?”
Lembu tu tengok kami, mata separuh tutup, macam malas layan.
Aku jalan perlahan, “Bah Sapiyah, jangan kau lari. Kalau kau lari, pak imam sembelih aku nanti sebagai ganti.”
Selepas 20 minit main kejar-kejar dan pujuk rayu, kami berjaya tarik Sapiyah balik ke masjid.
Waktu tu, jemaah tengah panas berdiri, tunggu majlis korban mula.
“Alhamdulillah!” jerit pak imam. “Kami sangka kena culik… rupanya dia lari staycation!”
Orang kampung gelak besar. Ayah ku tepuk dada lega.
Selepas sembelih, pak imam umum, “Sebagai penghargaan kepada yang berjaya cari Sapiyah, kepala lembu ani akan dimasak sup istimewa oleh emak si Ali.”
Orang kampung bersorak.
Aku bangga, tapi dalam hati risau.
“Mak… taukah masak kepala lembu?”
Balik ke rumah, emak ku tepuk dahi. “Kepala lembu? Astaga. Dulu aku masak sup ayam pun terlajak masin!”
Malam tu, semua orang kampung datang makan. Sup kepala lembu hasil tangan emak… memang tak boleh lupa.
“Ada rasa pelik sikit, tapi boleh tahan,” kata Pak Abu sambil senyum kelat.
“Rasa macam… ada serai dua gantang dan garam tiga gantang,” seloroh Mat Jerung.
Aku gelak. “Bah, janji Sapiyah Next Generation tak hilang lagi tahun depan.”
Selepas kejadian Sapiyah hilang pagi tadi, kampung kami macam diserang demam lembu.
Semua orang tak habis-habis cerita pasal lembu tu.
Di warung Pak Daud, orang ramai berkumpul macam biasa. Tapi topik hari tu bukan pasal politik, bukan pasal durian, tapi pasal… Sapiyah.
“Aku rasa lembu tu bukan lari biasa,” kata Pak Lang Mail, orang tua yang suka teori pelik-pelik. “Tu lembu tu kena pukau jin. Cuba kau fikir, tali plastik jingga tu kuat, aku pernah guna ikat motorsikal.”
“Jin apa pula, Pak Mail? Jangan bawa-bawa cerita mengarut,” kata Pak Daud. “Tu lembu cerdik.
Kau ingat dia tak tahu apa tu ‘korban’? Dia lari pasal dia tahu nasib dia!”
Malam tu, kami buat tahlil ringan dan majlis makan-makan selepas sup kepala lembu siap.
Sebelum makan, ayah ku berdiri dan beri ucapan ringkas.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah, lembu kita kembali ke pangkuan masyarakat. Terima kasih kepada semua penyelamat kampung… terutamanya anak ku Ali dan Mat Jerung, walaupun dia bawa jala nak tangkap lembu.”
Semua orang gelak besar.
Mat Jerung angkat tangan, tak malu langsung.
“Biasa bah. Mana tahu kalau lembu tu berenang ke sungai, aku sudah ready.”
Lepas makan, timbul pula satu isu baru.
“Eh, siapa bawa balik ekor lembu tu tadi?” tanya pak imam sambil pegang mangkuk kosong.
Semua orang pandang sesama sendiri.
Tiba-tiba, suara dari dapur menjerit, “Astaga! Si Man cucuk ekor lembu tu buat main macam tali skipping!”
Kami semua berlari ke luar. Si Man, budak darjah lima, tengah lompat sambil jerit, “Lihat aku juara skipping Aidiladha!”
Ayahku cepat-cepat rampas ekor tu.
“Apa kau buat ni Man! Tu makanan, bukan mainan!”
Si Man tunduk. “Tapi bisai, liat lagi, best jadikan skipping…”
Yang paling tak boleh dilupakan, bila Mat Jerung bawa balik sebahagian tulang lembu.
“Aku mau simpan ni buat kenang-kenangan. Tulang ni saksi perjuangan aku.”
Tapi bila ditanya oleh emak dia, kenapa simpan tulang lembu dalam almari pinggan, jawabnya, “Mana tahu nanti aku dapat ilham buka restoran. Ni boleh jadi maskot.”
Emak dia baling senduk.
Esoknya, cerita pasal lembu Sapiyah masuk dalam group WhatsApp kampung. Siapa lagi kalau bukan Pak Abu yang pos gambar lembu tengah baring santai di pondok sambil tulis caption:
“Cuti-cuti Sapiyah.”
Tular satu kampung. Gambar tu siap kena cetak dan digantung dalam dewan serba guna kampung. – Agensi