KUALA LUMPUR, 17 Sept – Usaha korporat terkini Sapura Energy Bhd dengan syarikat minyak dan gas utama dari Austria, OMV AG, akan memberi pelbagai manfaat yang berpotensi, termasuk membuat cadangan langkah itu yang lebih baik daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi Sapura Upstream Sdn Bhd, cabang penerokaan dan pengeluarannya (E&P).
OMV kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan cadangan urus niaga untuk membeli pegangan sebanyak 50 peratus dalam Sapura Upstream yang akan menyaksikan syarikat dari Austria itu mempunyai kedudukan perniagaan yang lebih kukuh di Asia Tenggara.
Cadangan urus niaga itu, menurut Macquarie Research Malaysia, adalah lebih baik daripada IPO berikutan penilaian yang lebih baik, kos lebih rendah, proses lebih lancar dan kurang keperluan pengawalseliaan bagi Sapura Upstream.
Melalui pakatan itu, Sapura Energy akan mendapat rakan strategik untuk memperoleh kerja-kerja huluan bagi segmen penggerudian dan kejuruteraan dan pembinaannya, sesuatu yang entiti tempatan mahu melihat lebih banyak aktiviti perniagaan selepas industri minyak dan gas (O&G) lembap seketika dari 2014 hingga baru-baru ini.
Lebih setahun lalu, Sapura Energy telah memikirkan mengenai kemungkinan untuk mengapungkan cabang E&P melalui IPO untuk mengewangkan asetnya dan mengukuhkan kewangan kumpulan itu.
Bagaimanapun, cadangan langkah korporat terkini dengan OMV itu boleh meraih banyak manfaat dengan satu tindakan apabila Sapura Energy mendapat akses kepada modal kerja yang amat diperlukan untuk menjana wang.
Macquarie Research juga berkata manfaat kewangan daripada langkah OMV itu dijangka membawa hasil sebanyak AS$800 juta atau RM3.32 bilion daripada nilai pasaran Sapura Upstream sebanyak AS$1.6 bilion atau RM6.64 bilion. – Bernama