Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sapura Energy raih anugerah terbaik Asia Pasifik

    SINGAPURA, 31 Jan – Penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Sapura Energy Bhd meraih Anugerah Syarikat Asia Pasifik Terbaik di bawah kategori Perkhidmatan Tenaga, Luar Pesisir dan Marin pada majlis Makan Malam Anugerah Tenaga Asia Pasifik yang diadakan di sini oleh Majlis Tenaga, kelmarin.

    Sapura Energy mengalahkan dua pesaing lain untuk anugerah itu, Schlumberger yang beribu pejabat di Houston dan Sembcorp Marine yang berpangkalan di Singapura.

    “Ia satu penghormatan yang besar kepada kami sebagai sebuah syarikat Malaysia yang diiktiraf sebagai syarikat di Asia Pasifik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Shahril Shamsuddin kepada Bernama selepas menerima anugerah tersebut malam tadi.

    Majlis itu diadakan di Raffles City Convention Center.

    Shahril berkata anugerah tersebut adalah hasil usaha 13,000 pekerja Sapura Energy selama ini.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pekerja yang telah bersama kami, menghadapi cabaran dalam tempoh empat hingga lima tahun lalu dan menjadikan kita yang terbaik. Dengan rasa rendah hati dan bangga, saya menerima anugerah ini untuk mereka,” katanya.

    Beliau turut menghargai sokongan daripada pelanggan Sapura Energy iaitu Petronas, Shell dan Exxon di Malaysia.

    “Mereka merupakan pelanggan yang luar biasa dalam beberapa tahun ini yang membolehkan kami mendapat disiplin untuk menjadi sebuah syarikat global,” katanya.

    Sebagai peserta dalam sektor huluan sepenuhnya, spektrum keupayaan Sapura Energy meliputi seluruh rantaian nilai daripada penerokaan, pembangunan, pengeluaran, pemulihan serta penyahtauliahan dan pengabaian.

    Dengan tenaga kerja multinasional yang berkemahiran tinggi dan mempunyai keupayaan dari segi teknikal, aset bertaraf dunia yang strategik dan keupayaan pengurusan projek yang kukuh, kumpulan itu hari ini mempunyai operasi di peringkat global di lebih 20 buah negara.

    Anugerah oleh Majlis Tenaga itu yang mewakili penanda aras kecemerlangan global bagi mereka yang terlibat dalam industri minyak dan gas telah diadakan bersempena dengan 2019 Asia Pacific Energy Assembly.

    Anugerah itu mengiktiraf mereka yang terlibat dalam industri tersebut yang telah berada dalam aktiviti berkaitan di rantau itu sejak 12 bulan lepas.

    Pemenang dipilih berdasarkan kriteria yang ketat untuk setiap anugerah.

    Bagi kategori perkhidmatan tenaga, luar pesisir dan marin yang dimenangi oleh Sapura Energy, kepimpinan keseluruhan sebagai penanda aras kecemerlangan industri, antara kriteria yang digariskan oleh majlis itu.

    Kriteria lain termasuklah prestasi kewangan berbanding kumpulan lain (harga saham, paras hutang); prestasi operasi portfolio aset; urus niaga dan transaksi pasaran terkini; kejayaan operasi terkini; dan kekuatan kerjasama industri.

    Kekuatan syarikat dari segi reputasi pasaran, tadbir urus korporat, hubungan pelabur dan hubungan awam juga merupakan kriteria yang dilihat oleh majlis tersebut. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda