Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sapura pelaut rai ulang tahun ke-25

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Sapura Pelaut, aset penggerudian minyak dan gas Sapura Drilling Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat pembekal penyelesaian minyak dan gas huluan antarabangsa, Sapura Energy, telah meraikan 25 tahun kejayaan operasinya yang berterusan di negara ini.

    Majlis Sambutan Jubli Perak Sapura Pelaut berkenaan telah diadakan di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel & Country Club, hari ini, dihadiri oleh kru Sapura Pelaut dan pemimpin kanan serta wakil dari Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Sapura Energy.

    Pada sidang media yang diadakan semasa majlis sambutan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy, Raphael Siri berkata, syarikat itu dipandu oleh Dasar Pembangunan Perniagaan Tempatan, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian.

    Beliau mengesahkan bahawa rakyat tempatan, apabila mempunyai pemikiran yang betul dan mengikut nilai-nilai syarikat, sebenarnya berkebolehan sebagai bakat antarabangsa apabila diberikan peluang.

    Strategi telus syarikat berkenaan bagi pemerkasaan rakyat tempatan telah meningkatkan pengambilan tenaga kerja tempatan daripada 30 peratus kepada 80 peratus sejak mengambil alih perniagaan daripada kontraktor penggerudian lain pada 2013.

    Yap Kong Fah ketika menerima cenderahati penghargaan daripada Raphael Siri (kiri).
    Raphael Siri (tengah), Pengarah Operasi Penggerudian Brunei Sapura Drilling Sdn Bhd dan Pengurus Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Sapura Drilling Sdn Bhd semasa di sidang media berkenaan.

    Hari ini, 70 peratus daripada jawatan penting dalam syarikat berkenaan dipegang oleh orang Brunei termasuk jawatan pengurusan dan teknikal.

    Menurut beliau, menerusi perkongsian rapat dengan BSP dan tenaga kerja yang kompeten, Sapura Pelaut merekodkan salah satu operasi selamat paling lama dalam industri dengan lebih 60 juta jam operasi tanpa kecederaan selama 13 tahun dan sembilan bulan.

    Pelantar penggerudian berkenaan juga telah memenangi Shell Rig of the Year sebanyak sembilan kali.

    Beliau berkata, penghargaan perlu diberikan kepada pekerja mereka di barisan hadapan dan semua yang berusaha menyokong fungsi-fungsi untuk mencapai kejayaan luar biasa berkenaan,

    “Setentunya, pendekatan perkongsian yang diambil oleh klien kami , BSP juga kunci kepada hasil berkenaan, yang membuktikannya,” tambah beliau.

    Sapura Pelaut dan beberapa orang krunya mempunyai hubungan kerja yang lama dengan BSP. Dibina pada 1994, ia merupakan pelantar penggerudian tender-assist separuh tenggelam pertama di dunia pada masa itu.

    Selain Sapura Pelaut, Sapura Energy juga mengendalikan satu lagi pelantar penggerudian tender-assist separuh tenggelam di Brunei iaitu Sapura Alliance.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda