Biarpun sudah beberapa kali dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia (FFM), pelakon Malaysia, Sara Ali akur masanya belum tiba untuk menggenggam sekurang-kurangnya satu trofi dalam acara anugerah berprestij itu.
Sara atau nama sebenar, Siti Sarah Hairi Ali, berkata dia menganggap masih belum layak menerima pengiktirafan, terutama dalam FFM kerana tanggungjawab yang perlu dipikul sangat besar selepas kemenangan.
Bagaimanapun, pelakon yang memulakan karier lakonan sejak 2011 dengan membintangi pelbagai filem blockbuster itu, mengakui impian untuk meraih pengiktirafan semestinya tertanam dalam jiwa.
“Mungkin ada beberapa pelakon lain mengimpikan untuk memenangi anugerah di luar negara, tetapi saya berharap sekurang-kurangnya dapat menang satu anugerah di FFM.
“Kita tengok Beto Kusyairy, dia menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM 32) dan Pelakon Lelaki Terbaik (FFM 33). Kenapa Beto menang? Bukan sebab setakat bakat, tetapi Beto sudah bersedia untuk berikan sesuatu kepada masyarakat.
“Kalau boleh saya hendak jadi macam Beto. Saya menang bila sudah matang, ‘masak’ dan kalau berlakon boleh bagi rasa kepada penonton,” katanya yang ditemui pada tayangan perdana dan sidang media filem terbaharu, Bisikan Dosa di ibu negara, Isnin lalu.
Sara berkata, seseorang pelakon dipilih bukan sahaja berdasarkan kejayaan atau bakat, tetapi turut berkait keperibadian mereka dan apa yang boleh disumbangkan kepada masyarakat.
“Contoh kalau seseorang itu menang, apa yang boleh diberikan kepada masyarakat? Itu satu tanggungjawab yang sangat besar. Saya terima sekiranya masih belum rezeki untuk memenangi anugerah kerana masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan,” katanya kepada BH Online.
Sejak pembabitannya dalam industri perfileman tanah air, Sara pernah empat kali membolosi pencalonan FFM.
Kali pertama, dia dicalonkan menerusi FFM 24 bagi kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik, diikuti FFM 25, FFM 27 dan FFM 32 bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik. – Agensi