Thursday, October 10, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saran penglibatan aktif para belia

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini berangkat menghadiri Sesi Sua Muka antara Pemimpin-pemimpin ASEAN (ASEAN Leaders’ Interface) bersama wakil-wakil belia ASEAN, yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Vientiane.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Semasa sesi bersama wakil-wakil belia ASEAN itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menyatakan bahawa perjumpaan berkenaan berfungsi sebagai wadah yang berharga untuk berdialog bersama para belia sebagai ejen perubahan dan pembangunan, bagi mengemukakan cadangan kepada Komuniti ASEAN yang saling berkaitan dan berdaya tahan.

    Dalam hal ini, para belia digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh pelbagai inisiatif ASEAN, khususnya pendidikan dan kesihatan, bagi memanfaatkan potensi mereka dan menyumbang kepada pembangunan serantau.

    Bagi meneruskan trajektori positif dalam usaha membina komuniti, Baginda Sultan turut menekankan bahawa pengintegrasian perspektif belia ke dalam Wawasan Komuniti ASEAN 2045 adalah juga penting.

    Selain memperkaya wawasan, penglibatan aktif para belia secara signifikan juga membentuk masa depan ASEAN, di mana penglibatan mereka bermanfaat dan memberikan kesan.

    Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Penolong Bendahari Majlis Belia Brunei, Awang Mohammad Nazib bin Haji Lamat dan Penolong Pegawai Pembangunan Program di bawah Green Brunei, Dayang Hazirah binti Sufian.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menghadiri Sesi Sua Muka antara Pemimpin-pemimpin ASEAN di NCC, Vientiane, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda