Sarang tebuan di Tasek Lama cetus kebimbangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Para pendaki yang melakukan aktiviti di Taman Rekreasi Tasek Lama, Bandar Seri Begawan berharap pihak-pihak yang berkenaan akan dapat memusnahkan sarang tebuan dekat trek Sarang Helang di taman tersebut kerana bimbang akan keselamatan mereka.

Kawasan rekreasi itu bukan sahaja popular dalam kalangan mereka yang suka bersukan dan berjoging namun turut menarik pelbagai lapisan masyarakat tidak kira bangsa untuk beriadah meninjau keindahan alam.

Salah seorang pengunjung, Awang Radduandy ketika ditemui Media Permata hari ini, berkata bahawa ramai yang tidak mengetahui adanya sarang tebuan di taman awam itu.

Katanya, sarang tebuan madu atau dikenali oleh penduduk kampung sebagai Tabuan Air itu tergantung pada salah satu dahan pokok yang terletak tepat pada trek yang digunakan orang ramai yang mana saiznya berukuran hampir satu kaki.

Pendaki kerap berhenti sebelum melintasi sarang berkenaan untuk melihat keadaan kawasan itu selamat atau tidak.

“Ini kerana, ramai yang tidak tahu, tabuan itu akan menyerang jika terdengar bunyi bising atau merasa terganggu dengan persekitarannya, jadi ia boleh me-nimbulkan bahaya kepada para pengunjung,” ujarnya.

Justeru, sebelum berlaku perkara yang tidak diingini, sarang tebuan itu perlu dimusnahkan segera oleh pihak berkaitan bagi menggelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

Mereka yang melalui trek berkenaan juga diminta untuk tidak berhenti atau berehat kawasan sekitarnya dan elakkan daripada mengganggu sarang tersebut.

Sarang tabuan yang hanya beberapa meter dari kepala.