DARO, 16 Julai – Sarawak akan membina sebuah lagi jambatan bagi menghubungkan jaringan jalan pesisir negeri itu seperti Pulau Bruit, Semop, Daro dan Matu serta hab halal Tanjung Manis.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata jambatan itu, yang merentasi Batang Lassa, adalah sepanjang 2.5 kilometer hingga 3 kilometer dan dijangka dibina dalam tempoh tiga tahun.
“Ia bakal menjadi jambatan kedua terpanjang di Sarawak selepas Jambatan Batang Lupar dan boleh menghubungkan kawasan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Semop, Daro dan Jemoreng selepas siap nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Daerah Daro hari ini.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa di bawah Unit Perancangan Negeri sedang mengenal pasti lokasi dan kos pembinaan jambatan itu.
Menurutnya projek itu dijangka melonjakkan pembangunan ekonomi kawasan pesisir di situ kerana ini adalah sebahagian dari Tanjung Manis.
Abang Johari berkata walaupun menyedari kos membina jambatan bagi menghubungi jalan pesisir adalah agak besar, kerajaan negeri tetap melaksanakannya demi memudahkan rakyat luar bandar selain memastikan kesemua jaringan jalan pesisir dapat dihubungkan.
“Kita buat pelaburan agak tinggi untuk membina jambatan bagi memudahkan masyarakat kita. Seterusnya, kita dapat buka tanah kawasan pertanian secara lebih mapan dan berdekatan dengan hab halal Tanjung Manis,” jelasnya.
Menurutnya beliau telah meluluskan banyak projek jambatan menghubungi jalan pesisir di Sarawak termasuk jambatan Kemena di Bintulu yang menghubungkan Kampung Jepak dan bandar Bintulu serta menghala ke Mukah dan Daro.
Abang Johari juga mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membina sebuah masjid baharu di Daerah Daro bagi menggantikan masjid sedia ada.
Sementara itu, bangunan baharu Pejabat Daerah Daro dibina dengan kos RM3,320,244 pada Julai 2015 dan siap dalam tempoh 15 bulan.
Kini, bangunan dua tingkat itu menempatkan Jabatan Perbendaharaan Negeri, Mahkamah dan Pejabat Ketua-ketua masyarakat. – Bernama