SINGAPURA, 12 SEPT – Kerajaan negeri Sarawak sedang giat mempromosikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) keenam dan Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi (WCIT) ke-27.
Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusannya untuk membina momentum serta menjana minat, penyertaan dan sokongan bagi WCIT|IDECS 2023 yang akan diadakan selama tiga hari bermula 4 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
“Kami mempunyai rancangan untuk mengadakan jerayawara di Kuala Lumpur. Jika berpeluang, kami akan ke Sabah dan Brunei,” kata Timbalan Pengerusi bersama WCIT|IDECS 2023, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghami kepada Bernama di luar acara jerayawara pertama yang diadakan di sini baru-baru ini.
WCIT|IDECS 2023 bersedia untuk menghimpunkan lebih 10,000 pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan usahawan dari seluruh dunia, untuk meneroka pelbagai dimensi ekonomi digital dan kesan transformasinya terhadap sektor, model perniagaan, kejiranan dan negara.
Ia akan menggalakkan perdebatan yang merangsang dan menawarkan peluang, kemungkinan pelaburan, pandangan kawal selia dan kisah kejayaan yang membentuk semula landskap digital Asia.
Selain itu, ia bertujuan untuk menggalakkan kerjasama rentas sempadan, perkongsian maklumat dan idea tentang isu penting termasuk kecerdasan buatan (AI), kemapanan, 5G, sistem autonomi, kepelbagaian & keterangkuman, bandar pintar, dasar ICT antarabangsa dan teknologi angkasa. – Bernama
