KUALA LUMPUR, 18 April – Sarawak akan menjalankan projek metanol dan metanol derivatif dengan kilang pertama bernilai US$800 juta (US$1=RM4.40) dijangka siap menjelang 2021, kata Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg .
Projek tersebut akan memainkan peranan penting dalam mentransformasi ekonomi Sarawak dan melanjutkan rantaian nilai hiliran minyak dan gas bagi merubah negeri ini kepada hab petrokimia serantau.
“Kita perlu ke arah hiliran, bukan sahaja menggunakannya untuk tenaga. Apabila kita ke hiliran, banyak produk akan memberi impak besar kepada ekonomi kita.
“Projek itu dijangka mewujudkan peluang kerja yang banyak kepada rakyat Sarawak, jurutera akan kembali dan akan wujud banyak kesan sampingan seperti logistik dan penyelenggaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak untuk projek tersebut di sini, hari ini.
MoU untuk Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) ditandatangani antara entiti kerajaan Sarawak, Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) dan konsortium antara China Huanqiu Contracting and Engineering Co Ltd (HQC) dan MACfeam Sdn Bhd, anak syarikat Pegasus Diversified Bhd.
Abang Johari berkata, kompleks yang akan dimiliki 100 peratus kerajaan Sarawak, akan dibina di tapak 80.9 hektar di Bintulu, berhampiran Taman Perindustrian Samalaju.
“Kilang itu akan menghasilkan sehingga 5,000 tan metrik metanol sehari.
“Dalam tempoh tiga hingga empat tahun, harga metanol dijangka pulih. Kami berharap pada masa kilang itu siap, ia akan mencatat harga pasaran yang betul,” tambahnya. MoU itu bertujuan mewujudkan hubungan kerja rasmi dan memastikan kerjasama antara YHBS dan konsortium HQC-MACfeam mengenai kerja-kerja EPCC dan menjadi peristiwa penting bagi memastikan projek itu berjalan pada mod pantas. – Bernama