KUCHING, 8 Mei – Sarawak merekodkan hasil sebanyak RM2.219 bilion bagi suku pertama tahun ini, disumbangkan terutamanya daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas, menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh.
Beliau berkata jumlah itu membabitkan 21.1 peratus daripada RM10.513 bilion sasaran hasilnya bagi tahun itu dengan kutipan hasil yang dijangka meningkat menjelang akhir tahun ini.
“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa akaun kewangan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2018 sekali lagi dikategorikan sebagai laporan lengkap.
“Ini adalah tahun ke-17 berturut-turut kerajaan negeri memperoleh pujian dan pengiktirafan,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata RM2.874 bilion atau 27.7 peratus daripada perbelanjaan biasa sebanyak RM10.390 bilion telah dibelanjakan pada suku pertama tahun ini.
Wong berkata daripada jumlah itu, RM0.799 bilion melibatkan perbelanjaan operasi manakala baki RM2.075 bilion lagi diperuntukkan untuk Akaun Dana Pembangunan. – Bernama