KUCHING, 26 MEI – Sarawak mencatatkan kes jangkitan rabies yang pertama dalam kalangan manusia bagi tahun 2025, yang melibatkan gigitan kucing liar pada bulan ini, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata kes berkenaan melibatkan remaja berusia 13 tahun di Kampung Segedup, yang menunjukkan gejala seperti demam, hilang selera makan, muntah, halusinasi, meracau, sukar berjalan dan sukar minum air pada 21 Mei lepas.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), mengesahkan kanak-kanak itu mempunyai simptom rabies antaranya demam, hilang selera makan, halusinasi dan takut untuk minum air.
“Kebiasaannya apabila sudah sampai ke tahap ini, memang susah untuk pulih. Kita telah mengambil langkah jaga-jaga dengan menangkap anjing-anjing liar di sekitar kawasan kejadian dan kucing liar itu telah pun disahkan mati,” katanya dalam sidang media mengenai Persidangan Rabies di Borneo 2025, di Bangunan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Rundi berkata pihak berkuasa tempatan juga sedang meningkatkan usaha untuk mengawal kucing dan anjing liar di kawasan sekitar secepat mungkin.
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka mengenai ancaman jangkitan rabies dan segera mendapatkan rawatan hospital, sekiranya diserang haiwan seperti anjing dan kucing sebelum virus itu menyerang otak serta saraf.
“Tahun ini kita ada ambil 21 sampel kucing, dengan dua daripadanya disahkan positif rabies. Kebanyakan kes jangkitan yang digigit haiwan rabies dan mereka pergi segera ke hospital untuk rawatan suntikan mereka boleh pulih,” kata Rundi. – Bernama


