KUCHING, 26 JUN – Sarawak yang mencatat lebihan belanjawan sejak beberapa tahun, mempunyai sumber pendapatan yang kukuh, terutama selepas pelaksanaan cukai jualan ke atas eksport produk petroleum.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata cukai berkenaan menjadi sumber pendapatan baharu negeri itu, yang tidak bergantung sepenuhnya kepada rizab.
“Sarawak stabil dari segi politik, dengan sumber kewangan diurus dengan baik, dan terus menarik pelabur domestik dan asing. Ini adalah hasil dasar mesra perniagaan selain keupayaan untuk menyediakan infrastruktur moden, serta tarif air dan tenaga yang kompetitif,” katanya semasa merasmikan Seminar Pelaburan Domestik Sarawak di sini hari ini.
Oleh itu katanya, kenyataan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini bahawa Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun adalah tidak wajar dan boleh menjejaskan sentimen pelabur asing, khususnya ke negeri ini dan juga negara. Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Usahawan yakin prestasi Sarawak akan lebih baik tahun ini sebagai destinasi pelaburan pilihan dan mencatat nilai pelaburan yang lebih baik berbanding RM8.6 bilion yang dikumpul tahun lepas. – Bernama