Wednesday, July 23, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak diiktiraf kluster perindustrian peralihan dunia

    KUCHING, 22 JULAI – Sarawak diiktiraf sebagai satu daripada 36 kawasan Kluster Perindustrian Peralihan di dunia dan satu-satunya di Malaysia, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata pengiktirafan itu diberikan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berpangkalan di Davos, Switzerland berikutan inisiatif Sarawak dalam membangunkan tenaga hijau.

    “Bulan lepas saya dijemput untuk berucap di WEF Asia – Summer Davos 2025, namun kerana isteri saya uzur ketika itu, saya menghantar wakil iaitu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.

    “Namun, mereka mahukan saya sendiri untuk menyampaikan ucapan dan slot itu akhirnya diberikan kepada Perdana Menteri Singapura (Lawrence Wong). Ini menunjukkan Sarawak kini berada pada tahap kepimpinan dunia dan insya-Allah, saya akan dijemput untuk sesi seterusnya,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek Jambatan Marina di Miri hari ini.

    Beliau berkata kedudukan tinggi Sarawak pada hari ini adalah hasil daripada dasar pembangunan negeri yang menekankan pembangunan mampan dan mesra alam.

    “Minggu lepas semasa saya berada di Jepun, mereka menyatakan kekaguman terhadap pendekatan Sarawak dalam menekankan penggunaan tenaga baharu. “Sebab itu kita perlu pertahankan kedudukan ini. Sambil kita membangun dan meningkatkan hasil negeri, kita juga memulangkannya kepada rakyat seperti projek pembinaan jambatan di Marina Miri ini yang menelan kos RM400 juta,” katanya. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari semasa majlis pecah tanah projek Jambatan Marina di Miri, kelmarin. – Foto UKAS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda