KUCHING, 8 APRIL – Sarawak telah dipilih sebagai destinasi lawatan pelancong sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2022 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hujung minggu ini, (9 dan 10 April).
Semasa pameran itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bersama-sama 20 rakan industrinya akan mempamerkan mengenai tarikan budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival (CANFF) Sarawak, daripada aktiviti riadah hinggalah pakej pelancongan yang akan memacu adrenalin.
Ia termasuk aktiviti mengunjungi rumah panjang tradisional, menyelam, berkayak dan mendaki gunung.
Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh Askor dalam kenyataan hari ini berkata penyertaan Sarawak dalam pameran pelancongan pengguna terbesar negara itu, adalah tepat pada masanya susulan pembukaan semula sempadan negara kerana semua pemain industri di negeri ini sudah bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong untuk menikmati keunikan tersendiri dimiliki Sarawak. – Bernama