KUCHING, 1 JAN – Sarawak sanggup menyediakan peruntukan kewangan mencukupi kepada persatuan-persatuan sukan negeri yang berminat untuk menganjurkan acara sukan secara besar-besaran di peringkat negeri mahupun antarabangsa tahun hadapan, kata Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Rahman Karim Hamzah.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri meminta pesatuan berkaitan agar tidak ragu-ragu untuk mengemukakan permohonan mereka bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan.
“Saya tidak melihat wang sebagai satu isu tetapi lebih kepada sama ada kamu (persatuan sukan di Sarawak) mahu menganjurkannya (acara sukan) atau tidak,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Judo Jemputan Kuching anjuran Persatuan Judo Sarawak di sini, hari ini.
Beliau bagaimana pun tidak mendedahkan jumlah keseluruhan peruntukan kewangan yang disediakan, tetapi memberi jaminan peruntukan itu cukup untuk diagihkan kepada persatuan-persatuan sukan tahun hadapan, dan apa yang penting adalah mereka perlu menghantar kertas kerja yang baik. – Bernama