KUCHING, 6 FEB – Sarawak menggunakan Sistem Bahan Binaan Berindustri (IBS) yang lebih mesra alam bagi pembinaan rumah mampu milik dan berkualiti untuk golongan B40 dan M40 di negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata selain itu, bahan IBS boleh digunakan dalam komponen untuk membina bangunan komersial yang mesra alam.
“Rumah atau bangunan yang dibuat menggunakan sistem IBS bukan sahaja tahan lama malah hasilnya lebih kemas dan setiap unit yang dibina turut dilengkapi elektrifikasi yang telah dimasukkan dalam komponen pembinaan.
“Jadi saya yakin dengan adanya sistem IBS yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) CTR, kita dapat membangunkan rumah dengan lebih cepat,” katanya pada sidang media selepas perasmian kilang IBS milik LCDA CTR Sdn Bhd di sini hari ini. – Bernama


