Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak ingin jadikan Bintulu hab industri gas

    KUCHING, 28 Feb – Sarawak telah memaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai hasratnya mendapatkan kerjasama syarikat petroleum nasional, Petronas bagi menjadikan bandar Bintulu sebagai hab industri gas.

    Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata ini berikutan kewujudan simpanan minyak dan gas (O&G) yang besar, khususnya di sekitar Baram.

    Malah, Bintulu yang terletak kira-kira 350 kilometer dari ibu negeri dan dikenali sebagai bandar minyak Sarawak, turut memiliki sebuah loji pemprosesan gas asli, Malaysia LNG Sdn Bhd serta pelabuhan bagi kemudahan aktiviti O&G.

    “Kalau kawasan Pengerang di Johor menjadi hab kilang penapis, kita juga mahu Sarawak menjadi hab (industri) gas. Inilah yang telah saya sampaikan kepada Petronas,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pencapaian ‘1,000,000 jumlah jam (kerja) tanpa sebarang kecederaan yang menjejaskan masa’ Projek Pembangunan Semula EPC Kinabalu di Muara Tebas di sini, hari ini.

    Abang Johari berkata selain pemusatan industri berkaitan O&G di Bintulu berikutan kemudahan infrastruktur asas yang ada, ia juga diharapkan dapat meningkatkan penglibatan penduduk tempatan dalam industri berkenaan.

    Ini disebabkan Sarawak juga memiliki kawasan-kawasan kaya sumber minyak untuk diterokai.

    “Itulah pendekatan saya sebagai Ketua Menteri keenam, untuk membawa (lebih ramai) penduduk Sarawak terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas di peringkat huluan mahupun hiliran,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda