Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak ingin jalin kerjasama maritim Sabah, Labuan

    LABUAN, 29 MAC – Kementerian Pengangkutan Sarawak sedang meneliti kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dengan Sabah dan Labuan dalam bidang maritim dan logistik.

    Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata kerjasama itu boleh direalisasikan memandangkan kepentingan sektor tersebut untuk Sabah, Sarawak dan Labuan.

    “Kementerian ini sedang melihat kepada maritim dan logistik. Sabah dan Sarawak mempunyai persamaan kerana kedua-dua negeri menguatkuasakan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960.

    “Kami juga meninjau bidang maritim bersama di Sabah yang ketika ini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Laut Malaysia, yang boleh diwakilkan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya kepada Bernama selepas melawat hab logistik bersepadu Labuan untuk industri minyak dan gas yang terletak di kawasan Asian Supply Base (ASB), hari ini.

    Beliau dan delegasinya disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Japar B Esteban dan para pegawai kanannya.

    Lee, berada dalam rangka lawatan sehari di Labuan, bermesyuarat secara tertutup dengan pegawai-pegawai dari Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah; pihak pengendali Pelabuhan Labuan Liberty, Megah Port Management Sdn Bhd dan Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB).

    Beliau melawat kawasan ASB yang menempatkan 88 buah syarikat antarabangsa dan domestik berkaitan minyak dan gas yang ketika ini beroperasi di pangkalan pengoperasian ASB. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda