KUCHING, 10 NOV – Sarawak memperluas kerjasama dengan Jepun menerusi penerokaan potensi dalam bidang teknologi hijau, pasaran karbon antarabangsa, sains biodiversiti dan pembangunan modal insan, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari berkata setelah tiga dekad hubungan erat antara Japanese Malaysia Association (JMA) dengan Jabatan Hutan Sarawak, sudah tiba masanya kedua-dua pihak meningkatkan kolaborasi ke arah bidang baharu yang memberikan impak tinggi kepada pembangunan mampan negeri.
“Melangkah ke hadapan, saya yakin kerjasama ini berpotensi diperluas ke bidang seperti pembangunan profesional dan kapasiti dalam pemantauan karbon, LiDAR, GIS (Sistem Maklumat Geografi) serta sains biodiversiti.
“Seterusnya, penglibatan bersama dalam pasaran karbon antarabangsa selaras dengan Rangka Kerja Artikel 6.2, program pemerkasaan belia dan komuniti serta inisiatif pertukaran pelajar, penyelidik dan ahli akademik antara institusi Jepun dengan universiti di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan 30 Tahun Kerjasama antara JMA dengan Jabatan Hutan Sarawak di Tokyo, Jepun, hari ini, bersempena dengan lawatan kerja rasmi selama tiga hari bermula semalam ke negara itu.
Abang Johari berkata jalinan kerjasama yang bermula pada 1995 itu bukan sahaja memberikan nilai tambah dari segi pemulihan hutan, tetapi turut merangkumi pembangunan komuniti dan pendidikan alam sekitar di seluruh negeri.
Menurutnya, Sarawak menghargai hubungan rapat dengan Jepun bukan hanya dalam aspek perdagangan dan pelaburan, tetapi juga hubungan rakyat dengan rakyat, pertukaran budaya, pemindahan ilmu dan komitmen bersama terhadap pemeliharaan alam sekitar. – Bernama


