KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Sarawak melakar pencapaian baharu apabila negeri itu akan mengeksport nanas varieti sendiri, SG-1 atau Sarawak Gold-1, ke China dan Singapura mulai tahun depan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata kejayaan tersebut membuktikan kemampuan Sarawak membangunkan pelbagai buah tropika premium yang berdaya saing untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, pencapaian itu juga membuktikan tiada negeri atau wilayah dipinggirkan oleh kementerian berkenaan mahupun Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan program serta projek berkaitan sektor keterjaminan makanan negara.
“Sarawak mencatat beberapa pencapaian membanggakan. Sebagai contoh, tahun hadapan negeri itu akan mula mengeksport nanas varieti sendiri, SG-1, buat pertama kali ke China dan Singapura,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung dakwaan Sarawak dipinggirkan dalam projek keterjaminan makanan serta sasaran kementerian dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan. – Bernama


