Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Sarawak komited wujud iklim pelaburan yang menarik

    KUCHING, 24 JAN – Kerajaan Sarawak akan memenuhi komitmennya dalam mewujudkan iklim yang ideal bagi pelaburan melalui dasar serta inisiatif mesra perniagaan untuk meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata ini dapat dilihat dalam barisan Kabinet Negeri baharu yang ditubuhkan selepas Gabungan Parti Sarawak meraih kemenangan besar dengan mengungguli 76 daripada 82 kerusi melalui Pilihan Raya Negeri ke-12 bulan lepas.

    “Kerajaan GPS akan meningkatkan usaha dalam mempromosikan keusahawanan termasuk pelaburan di kalangan rakyat Sarawak yang berminat untuk membangun dan melaksanakan projek mereka,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Terbaik Negeri Sarawak 2021 di sini hari ini.

    Abang Johari berkata sebuah entiti baharu bernama Invest Sarawak juga akan ditubuhkan tahun ini di bawah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Negeri.

    “Ia merupakan sebuah pusat sehenti yang mana semua pra-syarat (untuk pelaburan di Sarawak) akan diselaraskan oleh entiti khusus ini, dan ini akan memudahkan orang ramai (pelabur) datang. Peruntukan tanah, tenaga, bekalan air, semua ini akan diselaraskan di bawah satu entiti yang dipanggil Invest Sarawak,” katanya.

    Tenaga dan kelestarian alam sekitar juga akan menjadi satu lagi portfolio menteri baharu yang akan dipegangnya di bawah Kabinet baharu yang akan memberi penekanan pada ekonomi yang mesra alam sekitar, khususnya dalam penerokaan ke dalam ekonomi hidrogen.

    “Kami konsisten dengan trend dunia semasa, yang menuntut keseimbangan dalam permintaan alam sekitar selain permintaan untuk ekonomi kami bergerak ke hadapan. Dasar guna tanah serta perhutanan kami, termasuk penanaman semula hutan dan juga idea perdagangan karbon akan dimasukkan dalam strategi ekonomi masa depan kami,” katanya. – Bernama

    Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kiri) menyampaikan Anugerah Master Entrepreneur kepada Dayang Sophia Abang Taha (tengah) dari Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak pada majlis Sarawak Entrepreneur of the Year Awards 2021, semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...