Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak lahirkan 211 pegawai integriti bertauliah

    KUCHING, 10 OKT – Sarawak muncul negeri yang mempunyai Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) tertinggi dengan sebanyak 211 orang, kata Premier Sarawak,Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata daripada jumlah itu, 25 pegawai ditempatkan di pelbagai kementerian negeri, 64 di jabatan, 55 di badan berkanun, 28 di pihak berkuasa tempatan, 27 di pejabat Residen dan 12 di agensi-agensi lain.

    “Walaupun ini satu pencapaian boleh kita banggakan, yang lebih penting ialah CeIO dapat melaksanakan peranan dan fungsi mereka dengan cemerlang, penuh akauntabiliti dan berintegriti.

    “Apabila CeIO menjalankan tugas mereka dengan baik, ia tidak hanya memperkukuhkan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan kerajaan tetapi juga memastikan pentadbiran lebih telus dan bebas dari amalan rasuah,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2024, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

    Sementara itu, Abang Johari berkata masa depan negara bergantung kepada kemampuan untuk membanteras rasuah secara berkesan.

    Beliau berkata ibarat penyakit barah yang merosakkan tubuh badan secara senyap, rasuah mampu merebak dalam sistem dan mencengkam masa depan rakyat Malaysia.

    “Demi memenuhi kepentingan segelintir individu rakus, rasuah merosakkan integriti negara, meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan mewujudkan ketidakadilan sosial yang memudaratkan ekonomi kita,” katanya. – Bernama  

    Tan Sri Abang Johari semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Perdana Integriti 2024 pada 10 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda