Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak laksana SOE, perubahan kewangan di bawah perjanjian 3 tahun dengan Bank Dunia

    KUCHING, 2 OKT – Sarawak bersedia melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam tadbir urus syarikat milik kerajaan negeri (SOE) selain pengurusan kewangan awam di bawah kerjasama baharu selama tiga tahun dengan Bank Dunia serta kerajaan Persekutuan.
     
    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perjanjian itu bertujuan memperkukuh tanggungjawab selain mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang akan menjadi titik perubahan bagi negeri berkenaan.
     
    Kata beliau, titik perubahan akan berlaku apabila negeri itu mengambil langkah berani untuk melakukan pembaharuan SOE dan memodenkan pengurusan kewangan selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
     
    “Bagi mencapai matlamat berani dan inisiatif perintis kami, kerajaan negeri Sarawak akan bergantung pada SOE bagi memainkan peranan penting dalam mencapai objektif pembangunan,” katanya.
     
    Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di antara Kementerian Kewangan, kerajaan negeri Sarawak dan Bank Dunia mengenai perkhidmatan Reimbursable Advisory Services (RAS) di sini, hari ini.
     
    Abang Johari berkata melalui kerjasama ini, Sarawak akan memperkenalkan dasar pemilikan negeri baharu yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk menetapkan prinsip-prinsip yang jelas bagi peranan kerajaan negeri sebagai pemegang saham yang aktif serta bertanggungjawab.
     
    Premier itu seterusnya berkata, negeri berkenaan juga akan mengamalkan kod tadbir urus korporat Sarawak untuk SOE serta melancarkan rangka kerja pengukuran prestasi yang dikendalikan secara pusat dan disokong digital untuk menjejak 
     
    pencapaian SOE berbanding matlamat strategik, kewangan serta sosioekonomi. – Bernama 
     
    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah), menyaksikan pertukaran dokumen antara Setiausaha Kewangan Negeri (SKN) Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar (kiri), dengan Pengarah Negara Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei, Dr Zafer Mustafaoglu (dua, kanan) pada Majlis Menandatangani MoA, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda