Sarawak lancar dua aplikasi kesan kontak COVID-19

KUCHING, 29 MEI – Kerajaan negeri Sarawak telah membangunkan dua aplikasi mudah alih untuk membantu orang ramai dan komuniti perniagaan di negeri itu mengesan dan mengurus data yang berkaitan dengan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata, aplikasi berkenaan iaitu COVIDTrace dan QMUNITY adalah antara empat strategi yang digunakan oleh kerajaan negeri dalam melakukan pengesanan kontak awam secara besar-besaran bagi mengekang penyebaran COVID-19.

“Apabila kita tahu mereka ini dijangkiti, kita berusaha untuk memutuskan rantaian jangkitan tersebut, di sinilah aplikasi ini akan memainkan peranannya melalui data pusat. Data ini akan disimpan dan diambil melalui aplikasi khas ini,” katanya ketika berucap melancarkan aplikasi pengesanan COVID-19 itu di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Beliau berkata, aplikasi itu juga akan menjadi alternatif kepada amalan semasa dalam prosedur operasi standard (SOP) premis perniagaan yang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memerlukan orang ramai menulis mak-lumat peribadi mereka dalam buku log.

“Setelah mengimbas kod QR, ia akan menyimpan data anda, tiada siapa yang akan mengetahui nama atau nombor telefon anda, jadi data tersebut hanya disimpan oleh orang yang menguruskan kod tersebut,” tambahnya.

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Apple Apps Store dan Google Play Store mulai hari ini. – Bernama