KUCHING, 9 OKT – Diskaun bil elektrik bulanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang diberikan kerajaan Sarawak sejak 1 April 2020 dan sepatutnya tamat 30 Jun lepas akan diteruskan sehingga 31 Disember ini, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.
Katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan melanjutkan tempoh pemberian diskaun itu bagi membolehkan pengguna domestik menikmati potongan 25 peratus daripada jumlah bil mereka sementara peniaga dan pengusaha industri kecil masing-masing menerima diskaun 15 dan 10 peratus.
“Bantuan khas diskaun bil elektrik ini akan memberi manfaat kepada 700,000 pengguna di seluruh Sarawak,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurutnya, pemberian diskaun ini akan melibatkan perbelanjaan kerajaan negeri yang dianggarkan berjumlah RM203.7 juta iaitu RM123 juta untuk pengguna domestik dan RM80.7 juta untuk peniaga dan pengusaha industri kecil. Sebelum itu sebanyak RM1.15 bilion telah dibelanjakan untuk inisiatif ini bagi tempoh 1 April 2020 hingga 30 Jun lepas.
“Pasukan petugas khas Sarawak Energy Berhad (SEB) akan membuat penyelarasan dan pengiraan bil sewajarnya agar pelanggan dapat menerima diskaun mereka bermula dari Julai tahun ini,” katanya.
Julaihi berkata peniaga kecil seperti bengkel, kedai kopi, rumah kedai, restoran dan gerai penjaja pula boleh memohon diskaun bil bulanan mereka dengan mengemukakan permohonan kepada SEB sehingga 31 Disember ini. – Bernama


