NAKHON RATCHASIMA, 27 Feb – Teknologi permanian beradas (AI) dan pemindahan embrio (ET) akan diperluaskan dalam industri penternakan di Sarawak bagi memastikan kadar pengeluaran daging dan tenusu di negeri itu dapat dipertingkatkan.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, teknologi moden itu amat diperlukan bagi melonjakkan kadar mampu diri pengeluaran daging dan susu lembu serta kambing negeri itu yang masing-masing berada pada tahap 10 dan tujuh peratus ketika ini.
“Kita memerlukan polisi dan strategi untuk meningkatkan pengeluaran bagi lembu, kambing dan kerbau, serta jalan terbaik ke arah itu adalah menerusi aplikasi teknologi tinggi,” katanya kepada Bernama selepas melawat Pusat Teknologi Pemindahan Embrio, Jabatan Pembangunan Penternakan Thailand di sini.
Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak mengetuai delegasi kira-kira 20 orang daripada beberapa agensi pertanian dan penternakan negeri itu dalam lawatan sambil belajar yang turut disertai kaunselor pertanian di Kedutaan Malaysia di Thailand, Mohammad Ezri Shamsuddin.
Menurut Uggah, penguasaan teknologi AI dan ET penting bagi memastikan Sarawak dapat menghasilkan sendiri benih-benih lembu, kambing dan kerbau yang diperlukan untuk mengembangkan industri terbabit tanpa perlu membelinya dari luar negara.

Benih-benih yang dihasilkan menerusi teknologi moden itu akan diedarkan kepada penternak-penternak tempatan.
Pihaknya juga katanya, akan melatih tenaga-tenaga pakar tempatan dalam teknologi AI dan ET untuk kemajuan industri ternakannya dan berkeyakinan untuk menguasai teknologi tinggi itu walaupun ia akan mengambil masa.
Beliau diberitahu teknologi AI dalam industri ternakan telah menjadi suatu perkara rutin di Thailand, manakala aplikasi teknologi ET pula telah mencapai peratusan kejayaan yang amat tinggi di negara itu menyebabkan Sarawak mahu mempelajarinya.
Berbanding di Thailand, aplikasi AI dalam industri ternakan di Sarawak baharu di peringkat permulaan. – Bernama