KUCHING, 21 FEB – Sarawak perlu bersedia untuk masa depan dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi satelit, kata Menteri Pengangkutannya Datuk Seri Lee Kim Shin.
Beliau berkata negeri itu kini menumpu kepada pembangunan bakat dalam pelbagai sektor seperti teknologi angkasa, komunikasi dan pengangkutan pintar yang kesemuanya berkaitan dengan digitalisasi.
“Jadi, hari ini terdapat penekanan terhadap trafik, pengangkutan, bandar dan perkhidmatan pelawat pintar. Malah, kita juga bercakap mengenai kenderaan pintar seperti lori sampah pintar dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Persidangan Inovasi dan Teknologi Borneo (BIT25) di Sarawak hari ini.
Bercakap pada majlis itu, beliau berkata perjalanan transformasi digital Sarawak bukan hanya berkaitan perniagaan tetapi juga mengenai mewujudkan hubungan yang lebih cekap dan mampan.
“Dalam sektor pengangkutan, kita telah mencapai kemajuan besar menerusi inisiatif seperti bas berkuasa hidrogen, satu inisiatif pengangkutan hijau yang selaras dengan usaha kita terhadap tenaga boleh diperbaharui dan Transit Aliran Autonomi (ART), yang bakal merevolusikan mobiliti bandar, mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kesalinghubungan.
“Perkembangan ini adalah antara komitmen Sarawak terhadap ekonomi rendah karbon dan dipacu teknologi bagi memastikan negeri ini berada di hadapan dalam inovasi mampan,” katanya.
Lee menambah BIT25 adalah platform yang membantu perniagaan mengguna pakai penyelesaian digital, mempercepatkan transformasi ekonomi Sarawak dan meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam ekonomi digital.
“Antara cabaran utama bagi perniagaan dalam transformasi ini ialah untuk memastikan tenaga kerja mereka telah bersedia untuk masa depan. Oleh itu, semua inisiatif ini memudahkan lagi perniagaan melabur untuk pekerja mereka, melengkapkan pekerja dengan pengetahuan, kemahiran dan rangkaian yang betul bagi mendorong pertumbuhan,” katanya. – Bernama
