BANGKOK, 1 SEPT – Sarawak berminat untuk mencontohi amalan terbaik sistem logistik dan pengedaran barangan Thailand untuk melancarkan serta meningkatkan kesalinghubungan dan pergerakan barangan di negeri ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin.
Beliau berkata Sarawak merancang untuk membina terminal lori di empat bandar utama – Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri bagi mewujudkan sistem pengangkutan dan logistik yang efektif serta cekap.
Justeru, katanya Sarawak sedang mengkaji pelbagai model yang berjaya di rantau ini, termasuk Thailand, dengan harapan dapat mengguna pakai amalan terbaik mereka.
“Lawatan kami ke Thailand telah memberikan pemahaman yang lebih baik tentang cara terminal lori beroperasi. Pengetahuan ini akan sangat berguna untuk pelaksanaan projek rintis di Miri.
“Selepas lawatan, kami mendapat gambaran lebih jelas tentang model terminal lori itu. Kami mungkin mengubah suai atau menerima pakai sebahagian rancangan itu untuk memenuhi keperluan kami di terminal Miri,” kata Lee kepada Bernama, di sini.
Beliau mengetuai delegasi mengadakan lawatan kerja ke Thailand dari 27 hingga 31 Ogos. – Bernama
