SIBU, 16 JAN – Sarawak meminta Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) membuat kajian terhadap campuran benih padi hibrid yang dihasilkan dengan benih padi hibrid dari China, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata kajian itu diharapkan akan menghasilkan benih yang mampu meningkatkan pengeluaran padi Sarawak, sekali gus tidak lagi perlu mengimport beras menjelang tahun 2030.
“Syarikat swasta Onemas Agriculture Sdn Bhd telah mula dengan teknologi benih padi dari negara China ini,” katanya sambil menambah, padi yang ditanam itu dapat dituai selepas tiga bulan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penuaian Padi Hibrid dan Majlis Perasmian Kilang Padi Onemas Agriculture Sdn Bhd di Sungai Padi di Bintangor hari ini.
Abang Johari berkata kajian itu kelak akan memberikan penekanan kepada kualiti padi hibrid yang sesuai ditanam di Sarawak.