KUCHING, 6 MAC – Kerajaan Sarawak memperkukuh kerjasama dengan Sepanyol menerusi lawatan ke Tech Barcelona bagi meneruskan perbincangan mengenai penubuhan Tech City di negeri itu serta usaha menjadikan Sarawak sebagai hab serantau bagi teknologi dan keusahawanan.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), perbincangan itu tertumpu kepada infrastruktur digital, pembangunan bakat, inkubasi syarikat pemula dan kerjasama akademik-industri, diilhamkan daripada kejayaan Barcelona sebagai hab inovasi global.
“Penglibatan berterusan ini menekankan komitmen Sarawak kepada perkongsian antarabangsa dan visi memupuk ekonomi berasaskan pengetahuan yang mampan menerusi pembangunan Sarawak Tech City,” menurut kenyataan itu.
UKAS turut memaklumkan bahawa kerjasama antara Sarawak dan Barcelona mula terjalin ketika Kongres Dunia Mudah Alih (Mobile World Congress MWC) 2023 dan sejak itu terus diperkukuh menerusi usaha sama yang diketuai oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
Delegasi itu diketuai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, serta diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan. – Bernama
