KUCHING, 23 MEI – Sarawak sedang ber-usaha mendapatkan pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengiktiraf Fort Trails, satu inisiatif merangkumi 23 kubu yang dibina semasa era pemerintahan keluarga Brooke serta pemeliharaan warisan yang berkekalan.
Perkara itu antara inti pati utama semasa kunjungan hormat Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan ke Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis baru-baru ini.
Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak hari ini, beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja tertumpu kepada pemeliharaan fizikal semata-mata, tetapi turut tertumpu kepada sejarah lisan dan memori kolektif masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.
“Warisan kubu-kubu ini, yang kebanyakannya dibina hasil kerjasama masyarakat tempatan yang menyumbang kayu belian, tenaga kerja, bekalan makanan dan pengetahuan tentang bentuk muka bumi, terus hidup melalui penceritaan turun-temurun,” katanya.
Beliau berkata hanya 14 daripada 23 buah kubu bersejarah itu masih wujud hari ini, namun kerajaan Sarawak melihat struktur fizikal yang masih ada serta ekspresi budaya tidak ketara yang berkait dengannya sebagai identiti bersama yang perlu dipelihara.
Snowdan berkata kementerian berkenaan akan bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO bagi merealisasikan hasrat itu.
Beliau turut membincangkan perkara itu dalam pertemuan dengan Setiausaha Konvensyen untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara UNESCO, Fumiko Ohinata, sambil berkongsi cita-cita Sarawak yang lebih luas untuk mencalonkan unsur-unsur warisan lain yang diamalkan oleh 34 kumpulan etnik di negeri itu.
Dalam satu pertemuan berasingan bersama Timbalan Pengarah Pusat Warisan Dunia UNESCO, Jyoti Hosagrahar, beliau berkata perbincangan menjurus kepada kesesuaian Petunjuk Budaya UNESCO 2030 dengan pembangunan Sarawak serta usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia.
“Kami melihat pengiktirafan Gua Niah bukan sahaja sebagai satu penghargaan terhadap sejarah silam, tetapi juga laluan untuk mempromosikan kraf dan mata pencarian mampan,” tambahnya. – Bernama
