Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak naik taraf taman lalu lintas

    SIBU, 3 OGOS – Kementerian Pengangkutan Sarawak akan menaik taraf taman lalu lintas di seluruh negeri sebagai langkah memperkasakan semula pendidikan keselamatan jalan raya secara praktikal dalam kalangan pelajar sekolah.

    Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata sebanyak enam taman lalu lintas sedia ada di Sarawak iaitu di Sibu, Kuching, Sri Aman, Sarikei, Bintulu dan Miri telah menerima peruntukan khas bagi memastikan kemudahan itu kekal berfungsi sebagai ruang pembelajaran yang selamat dan berimpak.

    Beliau berkata Taman Lalu Lintas Rejang Park di Sibu yang dibina lebih 30 tahun lepas menerima peruntukan RM350,000 untuk kerja-kerja naik taraf, sejajar dengan usaha menyeluruh kementerian dalam memulihkan dan memperkukuh pendidikan keselamatan jalan raya.

    “Peningkatan kemudahan ini penting agar pelajar dapat belajar dan memahami peraturan jalan raya melalui pengalaman sebenar yang menyerupai situasi di lapangan,” katanya semasa merasmikan Sarawak Traffic Games (STG), hari ini.

    Lee turut memaklumkan bahawa kementeriannya merancang untuk menambah bilangan taman lalu lintas di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) supaya setiap bahagian di Sarawak mempunyai sekurang-kurangnya satu taman lalu lintas yang lengkap dan berfungsi. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda