Tuesday, October 22, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak pacu pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui

    SINGAPURA, 21 OKT – Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai ‘Bateri ASEAN,’ yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata dengan meningkatnya permintaan tenaga bersih di peringkat serantau, usaha ini penting bagi mempertingkatkan pertukaran tenaga rentas sempadan, memperkukuh keselamatan tenaga serantau, dan mempercepatkan peralihan tenaga bersih.

    “Menjelang Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga bagi tempoh 2026 hingga 2030, dan dengan Malaysia bakal memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, kami komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dan memperluas kesalinghubungan merentasi sistem tenaga kami,” katanya dalam ucaptama di Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW), hari ini.

    Dalam usaha yang lebih jauh, Abang Johari berkata merealisasikan Grid Kuasa ASEAN memerlukan lebih daripada sekadar penyelesaian teknologi dan kewangan.

    “Ia memerlukan kehendak politik, penjajaran dasar, penyelarasan peraturan dan piawaian, pembangunan infrastruktur, serta kerjasama serantau.”

    Beliau berkata, Sarawak bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk memajukan Grid Kuasa ASEAN, dengan penubuhan pasukan petugas bersama antara Malaysia dan Indonesia untuk mempercepatkan pembangunannya.

    Abang Johari menekankan Sarawak bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan kuasa bersih untuk pembangunan sendiri, tetapi juga melihat potensi komersial yang besar dalam eksport elektrik.

    Beliau menyatakan Sarawak adalah penyokong kuat bagi keterhubungan serantau, membayangkan bahawa perdagangan kuasa dalam ASEAN secara beransur-ansur akan beralih daripada hubungan dua hala kepada rangkaian yang lebih terintegrasi yang menggabungkan sumber boleh diperbaharui. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Anak Sarawak di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 19 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda