Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak perkenal peranti penukar kuasa berasaskan AI pertama dunia

    KUCHING, 30 APRIL – Kerajaan Sarawak mencatat satu lagi pencapaian penting dalam bidang teknologi global apabila memperkenalkan KETEQ AI, peranti penukar kuasa pertama di dunia yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan Sarawak.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pencapaian itu merupakan antara hasil utama di bawah inisiatif Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang bertujuan menjadikan Sarawak sebagai hab berteknologi tinggi di rantau Asia Tenggara.

    “Pembangunan Penukar Kuasa AI Edge ini bukan sekadar hasil dasar, malah menjadi pemangkin perubahan besar buat Sarawak. Inovasi ini mewakili lonjakan transformatif dalam landskap teknologi kita,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

    Beliau mengumumkan perkara itu semasa lawatan ke fasiliti CSA Catapult di Cardiff, Wales, kelmarin, di mana beliau menjelaskan bahawa projek KETEQ AI bermula pada 23 April tahun lepas susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman antara SMD Semiconductor dan CSA Catapult.

    Menurut Abang Johari, KETEQ AI direka bentuk dengan keupayaan mengesan dan membetulkan gangguan sistem secara automatik dalam tempoh kurang 0.1 milisaat, menjadikannya antara sistem paling responsif dalam bidang kawalan pintar dan elektronik kuasa. 

    Abang Johari berkata teknologi tersebut merupakan satu kemajuan besar yang membuktikan komitmen Sarawak dalam membangunkan keupayaan teknologi strategik sendiri. Peranti itu bukan sahaja menjanjikan kecekapan tenaga yang tinggi, malah direka untuk beroperasi pada platform berskala dengan keupayaan tindak balas masa nyata.

    “KETEQ AI mempunyai potensi aplikasi yang luas, termasuk dalam grid pintar, sistem kenderaan elektrik, teknologi autonomi, Internet Industri Pelbagai Benda (IoT), sistem penyelenggaraan ramalan dan mekanisme kawalan kritikal,” tambahnya. – Bernama

    Abang Johari berucap pada perasmian Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita ASEAN Perhimpunan Agung ke-45 AIPA pada 22 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda