KUCHING, 17 FEB – Sarawak menonjolkan hasrat yang kukuh dalam menarik pelaburan di pelbagai industri termasuk tenaga boleh baharu, minyak dan gas, pendidikan serta keselamatan siber.
Timbalan Pengerusi Majlis Pelaburan dan Perusahaan Komanwel (CWEIC), Lord Hugo Swire berkata Sarawak secara aktif sedang meletakkan dirinya sebagai hab pelaburan yang dinamik.
“Visi Sarawan yang bercita-cita tinggi ke arah pembangunan ekonomi yang mampan ditonjolkan melalui kepimpinannya dalam hidrogen hijau, transformasi digital dan industri semikonduktor,” katanya dalam satu kenyataan oleh Investsarawak, sebuah agensi di bawah bidang Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas kunjungan hormat Swire ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri tersebut.
Swire berkata CWEIC komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan Sarawak, sebagai susulan perbincangan yang dimulakan semasa lawatan Pengerusi CWEIC, Lord Marland pada Februari tahun lepas.
Sementara itu, Awang Tengah mengalu-alukan kerjasama dan menggariskan kesediaan Sarawak bagi menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi di United Kingdom (UK) untuk mengembangkan peluang dalam sektor ini. – Bernama
