KUCHING, 14 APRIL – Kerajaan Sarawak perlu mengkaji semula rancangan pembangunannya supaya dapat disesuaikan dengan ketidaktentuan global pada masa ini susulan pelan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat (AS).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri itu secara tidak langsung terjejas dengan senario tersebut berikutan ia boleh mempengaruhi harga minyak dan komoditi yang dihasilkan di Sarawak.
“Hari ini, harga minyak kira-kira AS$65 setong walaupun kita menjangka ia berada antara AS$85 dan AS$90 (setong).
“Oleh itu, ada impak terhadap kita. Impaknya ia mungkin menjejaskan pendapatan kita dan keduanya, tidak ada hala tuju yang jelas dalam dasar perdagangan antara negara maju dan negara membangun.
“Sebab itulah, mahu tak mahu kita mengambil perhatian dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini,” katanya dalam ucapan pada Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Premier Sarawak, hari ini.
Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan terutamanya dalam penyediaan tenaga termasuk tenaga hijau dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global selain telah diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai satu pusat pembangunan baharu.
Abang Johari berkata kelebihan yang dimiliki oleh Sarawak ini perlu digabungkan dengan perkhidmatan awam yang bersedia menjadi jentera kerajaan yang berkesan untuk bersama-sama kepimpinan negeri bagi menyesuaikan dengan perubahan yang berlaku sekarang.
Katanya, persiapan itu turut berkaitan dengan pelaksanaan program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 dan Sarawak akan menumpukan kepada beberapa pembangunan industri termasuk infrastruktur, pengilangan, pendigitalan dan makanan.
“Saya meminta agensi yang menyelaraskan pelaksanaan projek untuk turun padang. Selagi projek itu telah diumumkan oleh saya dan rakan-rakan dalam Kabinet serta telah memberikan peruntukan, ia mesti dilaksanakan dengan cepat,” katanya. – Bernama
