KUCHING, 15 JUN – Sarawak telah meraih satu lagi kejayaan penting dengan memperluas perkhidmatan penerbangannya menerusi syarikat milik kerajaan negeri, Hornbill Skyways Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan helikopter luar pesisir (OHS) yang menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF) bagi operasi di Miri.
Ia susulan majlis penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kontraktor pengatur petroleum (PAC) hari ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kontrak lima tahun daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu akan menawarkan lebih banyak peluang kepada warga Sarawak untuk meneroka industri minyak dan gas serta penerbangan, di samping membuka peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak latihan kepada pekerja berkemahiran.
“Kejayaan penting ini adalah bukti dedikasi, ketekunan dan komitmen kukuh pasukan kami yang telah menunjukkan kecemerlangan dan profesionalisme yang konsisten dalam bidang penerbangan,” katanya dalam ucapan sebelum menyaksikan majlis penandatanganan MoU berkenaan di sini.
Kontrak bersepadu itu melibatkan enam PAC iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd, Sarawak Shell Bhd, SapuraOMV Upstream (Sarawak) Inc, Mubadala Energy (SK320) Ltd, JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Ltd dan PTT Exploration and Production.
Berikutan Sarawak komited ke arah kemampanan alam sekitar, Abang Johari berkata penggunaan SAF buatan Sarawak menerusi kerjasama itu adalah langkah perintis untuk meneroka mikroalga sebagai sumber potensi tenaga boleh diperbaharui, susulan majlis penandatangan MoU dengan Petronas Dagangan Bhd baru-baru ini yang menumpukan kepada pelaksanaan SAF dalam perkhidmatan OHS.
Menerusi kontrak itu, Hornbill Skyways akan menggunakan tiga helikopter, melibatkan Airbus H175 enjin berkembar super medium bagi operasi OHS di Miri yang menyediakan perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada pelanggan. – Bernama
