Sarawak peruntuk rm16 juta bagi projek hidrogen

KUCHING, 8 NOV – Sarawak memperuntukkan sejumlah RM16 juta bagi pelaksanaan stesen isian semula dan loji pengeluaran hidrogen bersepadu, termasuk bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan berkaitan hidrogen, kata Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.

“Bagi cadangan jumlah stesen dan loji yang akan dibina di negeri ini pada masa akan datang, ia bergantung kepada kajian keseluruhan mengenai berapa banyak yang diperlukan nanti,” katanya semasa menjawab soalan Violet Yong (PH-Pending) dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Dr Jerip memberi jaminan bahawa semua langkah keselamatan telah diambil kira bagi memastikan bahan api melibatkan hidrogen bukan sahaja selamat digunakan tetapi mesra alam sekitar.

Mengulas lanjut, beliau berkata teknologi hidrogen adalah teknologi saintifik yang sangat kukuh dan digunakan secara meluas di negara maju seperti Jerman, Kanada, China, Amerika Syarikat, England dan Scotland.

“Negara ini telah mewujudkan standard keselamatan dan Prosedur Operasi Stan-dard (SOP) yang kukuh dalam teknologi ini dalam usaha memastikan ia selamat serta mampan,” katanya.

Mengenai isu cecair hidrogen tercemar yang berlaku di stesen dan loji hidrogen sebelum ini, beliau berkata perkara itu berjaya diselesaikan sepenuhnya oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Linde EOX Sdn Bhd, yang merupakan penyelia teknologi semasa tempoh percubaan prestasi.

“Isu cecair tercemar itu berlaku berikutan terdapat perbezaan pelbagai tekanan di dalam loji berkenaan,” katanya. – Bernama