Sarawak peruntuk RM60 juta tangani COVID-19

KUCHING, 7 OGOS – Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan kira-kira RM60 juta bagi membiayai kos operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi membendung jangkitan COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bantuan operasi itu termasuk perolehan alat pelindung diri (PPE) tambahan, ujian PCR, makanan untuk petugas barisan hadapan, bantuan makanan untuk komuniti terjejas dan hotel percuma untuk individu di bawah pengawasan (PUS) atau pesakit di bawah siasatan (PUI) di Sarawak.

Uggah, yang juga Pengerusi JPBN, berkata peruntukan itu juga bagi membiayai pos keselamatan sempadan, peruntukan kepada Jabatan Kesihatan dan pembelian penutup mulut dan hidung percuma untuk semua rakyat Sarawak.

Mengulas Program Kepolisan Komuniti yang dilancarkan hari ini, beliau berkata ia selaras dengan prinsip bantu diri, bantu keluarga, bantu jiran, bantu masyarakat, kita jaga kita dan kita jaga Sarawak. – Bernama