KUCHING, 4 OGOS – Kerajaan Sarawak merancang untuk memperkenalkan e-penduduk bagi memudahkan kemasukan golongan profesional dan pakar dari seluruh dunia yang diperlukan oleh industri di negeri ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata beliau telah menghantar pasukan untuk mengkaji mekanisme dan pelaksanaan e-penduduk di Estonia, negara yang Sarawak boleh jadikan model bagi inisiatif itu.
“Sebaik memperoleh model itu (untuk pelaksanaan), saya akan bawa ke Dewan Undangan Negeri untuk kelulusan bagi memulakan e-penduduk ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Pusat Digital Tun Abang Haji Openg (TAHODC) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan, di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan industri di Sarawak serta kedutaan atau suruhanjaya tinggi bagi menyaring permohonan e-penduduk sebelum meluluskannya.
“Ia mesti ‘G to G’ (kerajaan ke kerajaan). Kita akan gunakan data yang diberikan kerajaan negara pemohon sebelum mengeluarkan e-penduduk,” katanya.
Abang Johari berkata status pemegang e-penduduk sama seperti pemastautin tetap di negeri ini dan mereka boleh masuk serta keluar Sarawak tanpa terlalu banyak masalah imigresen. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P9-1Sarawak_05082023.jpg)