Saturday, July 27, 2024
26 C
Brunei

    -

    Sarawak sasar 3 matlamat strategik tahun ini

    KUCHING, 9 FEB – Sarawak menyasarkan untuk memuktamad tiga matlamat strategik tahun ini dalam usaha mewujudkan persekitaran yang seimbang dan selamat bagi kemajuan negeri itu.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri itu berhasrat mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, menubuhkan syarikat penerbangan sendiri dan memiliki pegangan yang besar dalam sebuah bank komersial.

    “Selepas 43 penubuhannya, kami ingin mengambil kembali Pelabuhan Bintulu. Ini bukan hanya kerana ia sepatutnya berada di bawah kuasa Sarawak menurut Perlembagaan tetapi juga kerana Sarawak perlu merancang secara komprehensif pembangunan pelabuhannya yang merangkumi seluruh Sarawak termasuk kawasan pedalaman yang kaya dengan sumber.

    “Ini umpama mengambil kembali empangan Hidro Bakun daripada pihak berkuasa persekutuan bagi membolehkan kami berkuasa menentukan kadar tarif tenaga sendiri untuk menarik pelaburan dalam industri berasaskan tenaga di Sarawak,” katanya dalam amanat sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.

    Beliau berkata Sarawak juga berhasrat memiliki syarikat penerbangan sendiri untuk memberikan perkhidmatan bukan hanya di kawasan pedalaman tetapi juga menyediakan kesalinghubungan ke destinasi terpilih di rantau Asia.

    Abang Johari berkata Sarawak perlu melabur dalam mewujudkan ketersambungan udara di antara negeri itu dengan seluruh rantau Asia bukan sahaja untuk membawa pelancong malah memudahkan perjalanan udara bagi merangsang perniagaan dan pelaburan di Bumi Kenyalang.

    “Sarawak terletak di sebuah kepulauan dan satu-satunya cara untuk membawa masuk orang ramai ialah dengan menerbangkan mereka. Saya harap kami boleh muktamadkan rundingan dengan pihak berkuasa persekutuan tidak lama lagi dan memiliki syarikat penerbangan sendiri dalam tahun ini,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...